Tribunal Rakyat untuk orang ramai hakimi PRU13 kata pemimpin Pakatan

Jumat, 14 Februari 2014 0 komentar

Oleh Hasbullah Awang Chik July 26, 2013
Tribunal Rakyat (TR) selama lima hari bermula 18 September ini yang dianjurkan Bersih 2.0 bagi mendedahkan penipuan dan memanggil saksi yang terbabit semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu adalah platform bagi rakyat untuk menghakimi PRU13, kata pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Rafizi Ramli berkata, penubuhan tribunal berkenaan bagi mengumpul bukti penipuan yang berlaku semasa PRU13 lalu serta memberi ruang kepada rakyat untuk tampil ke hadapan bagi mendedahkan sendiri penyelewengan berkenaan kepada umum.

Pengarah Strategi PKR itu menambah, TR adalah  platform terbaik kepada rakyat selepas kerajaan negeri Selangor mewujudkan Suruhanjaya Penyelewengan Pilihan Raya yang diketuai Timbalan Speaker Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai alternatif kepada rakyat mendedahkan penipuan dalam PRU13 lalu.

 “Saya melihat TR sebagai medan terbaik kepada rakyat bagi menceritakan pengalaman yang mereka alami serta mendedahkan bukti penyelewengan PRU13. Pastinya kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui medianya akan memperlekehkan tinjauan pendedahan TR.
“Namun kita harus faham, mereka berada pada pihak minoriti. 

Rakyat sendirilah bersama PR yang menjadi suarta majoriti menyalurkan maklumat kepincangan PRU13 lalu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider, hari ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula menyifatkan langkah penubuhan sebuah badan siasatan seperti TR seharusnya dipelopori oleh kerajaan BN sendiri.

Bagimanapun, katanya, selepas keengganan BN menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat penipuan pilihan raya, langkah pro aktif Bersih ini sewajarnya dipuji.
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, penerimaan kerajaan BN bukan menjadi isu pokok namun pendedahan berkenaan dapat membuka mata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mendedahkan penipuan kepada masyarakat umum.

“Rakyat sendiri menghakimi perjalanan PRU13 sekiranya tinjauan pendedahan TR ini enggan diterima oleh kerajaan BN kerana suatu ketika dahulu SPR juga enggan menerima kelemahan dakwat kekal, namun selepas diasak pelbagai pihak akhirnya SPR tanpa dapat berselindung lagi terpaksa mengakui hal itu,” katanya.

Manakala DAP pula berpendapat meskipun penubuhan TR tiada di bawah peruntukan undang-undang, pendedahan tribunal itu nanti mampu mecorak perspektif rakyat berhubung tentang apa yang berlaku semasa PRU13.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, berkata biarpun pendedahan tribunal itu nanti tidak diendahkan kerajaan BN, saksi yang tampil serta lebih banyak bukti dikemukakan, pastinya mampu menambah keyakinan rakyat berhubung penipuan dalam pilihan raya jika selama ini mereka tidak dapat memastikan kesahihan perkara berkenaan.

Semalam, Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan mengumumkan TR akan bermula 18 September bagi menyiasat dakwaan berlaku penipuan pilihan raya seperti daftar pemilih yang tidak bersih serta dakwat kekal yang mudah ditanggalkan.
Bersih mengumumkan enam ahli tribunal berpengalaman untuk mengendalikan prosiding yang terdiri daripada tiga dari luar negara dan tiga warga tempatan.

Tiga individu dari luar negara ialah bekas Wakil Khas Setiausaha Agung PBB di Kemboja, Yash Pal Gai selaku pengerusi; bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia, Ramlan Surbakti dan Kraisak Choonhavan, bekas Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Myanmar Caucus (AIPMC).

Tiga ahli tempatan ialah Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Azzat Kamaludin; bekas profesor Fakulti Ekonomi dan Pentabdiran Universiti Malaya, Dr Mavis Puthucheary dan Rev Dr Hermen Shastri, Setiausaha Agung Lembaga Gereja Malaysia (CCM). – 26 Julai, 2013.
The Malaysian Insider

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 hal informasi